Gambar Masjidil Haram-kredit kepada www.citizenjurnalism.com
Motivasi : Coretan Perjalanan Pertamaku untuk menunaikan Haji (2014)/1435H September ini.
Alhamdulillah itulah ucapanku tatkala menerima surat tawaran haji 1435H pada bulan November 2013 yang lalu. Tawaran ini memang ditunggu dan dinantikan sejak 2007 lagi ketika aku mendaftar untuk menunaikan Haji pada bulan Mac 2007 melalui cara Muassasah (biasa). Ketika itu usiaku 27 tahun dan harapanku hanyalah agar Allah membuka jemputan bagiku, isteri dan ibuku dan adikku. Untuk menantikan tawaran ini bukanlah perkara yang mudah apatahlagi dalam usia yang muda 34 tahun aku dan isteri serta ibu dan adikku dapat tawaran untuk mengerjakan haji. Dari pengalaman sejak mendaftar untuk menunaikan haji hinggalah melalui proses-proses persiapan sebelum, semasa dan ketika berakhirnya ibadah haji dan umrah nanti adalah pengalaman yang sangat indah dan menakjubkan. Ketika aku membuka blog motivasi haji dan umrah ini, aku ingin berkongsi pengalaman, kefahaman dan cabaran yang dilalui khususnya untuk mendapatkan haji mabrur. Harapanku, pada masa hadapan rakyat Malaysia khususnya yang berkeinginan untuk menunaikan haji dan umrah dapat motivasi dari blog ini. Mungkin blog ini akan menjadi salah satu cara dakwahku khususnya kepada golongan muda untuk memasang niat menunaikan haji atau umrah dari usia muda lagi. Pengalamanku adalah sebagai rakyat Malaysia dan beragama Islam kita perlu merancang dalam menunaikan ibadah Haji. Tanpa perancangan mungkin agak sukar untuk kita menunaikan haji dan umrah. Apatahlagi dengan kouta 1% sahaja rakyat Malaysia yang beragama Islam dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan Haji menjadikan Haji adalah perkara yang perlu dirancang oleh kita sebaik-baiknya.
Selaku kaunselor dan penceramah sambilan dalam pelbagai bidang, aku merasakan salah satu perkara yang perlu dilakukan adalah MEMBERI MOTIVASI HAJI & UMRAH kepada individu lain agar berupaya menunaikan haji dan umrah ketika hayat mereka dengan sempurna.
Apa yang aku tahu adalah kebanyakan individu mempunyai pelbagai persepsi apabila memperkatakan bab HAJI & UMRAH. Kebanyakan khususnya belia dan orang muda merasakan menunaikan haji dan umrah hanyalah dilakukan ketika usia tua. Walhal persepsi ini adalah salah. Bersambung...
No comments:
Post a Comment