Perjanjian 10 tahun, Tabung Haji-Al Rawda
05 September 2017 7:12 AM
MEKAH 4 Sept. -
Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hari ini memeterai perjanjian lanjutan
pajakan hotel dengan syarikat Al-Rawda Investment For Real Estate Development
& Project Management Ltd (Al-Rawda), pemilik beberapa rangkaian hotel di
Madinah dan Mekah untuk tempoh 10 tahun akan datang, tanpa sebarang kenaikan
kos sewaan.
Pengerusi Tabung
Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, persefahaman itu bertujuan
memastikan untuk tempoh mendatang itu, jemaah haji Malaysia dapat mendiami
hotel yang hampir dengan Masjid Nabawi di Madinah serta sebuah hotel di Mekah
yang berhampiran Masjidilharam.
"Di bawah syarikat
Al-Rawda, ini ada lima hotel, satu di Mekah dan selebihnya di Madinah. Hari ini
kita memeterai perjanjian bagi dua hotel iaitu Hotel Al-Haram dan Hotel Al
Saha, di mana kedua-duanya di Madinah sehingga 2027," katanya kepada
wartawan Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir
Pengerusi Lembaga Pengarah Al-Rawda, Dr. Mashhoor Ali Al Madodi; Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta beberapa
Menteri kabinet dan Timbalan Menteri serta pengurusan kanan Tabung Haji.
Dalam perkembangan
lain, Abdul Azeez berkata, esok beliau dan Ahli Lembaga Pengarah akan ke
Madinah untuk melihat berapa lokasi termasuklah tanah kepunyaan Kementerian
Kewangan Arab Saudi yang ditawarkan kepada Malaysia dan Tabung Haji untuk
dibangunkan kompleks haji di Madinah, selain di Mekah.
"Jika semuanya
berjalan lancar, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan datang ke
Mekah dan Madinah pada bulan Disember ini untuk merasmikan perletakan logo
Tabung Haji dan menyaksikan majlis tandatangan perjanjian pembinaan Kompleks
Tabung Haji ini.
No comments:
Post a Comment